Rumah Leasehold: Boleh Beli Ke? Apa Risiko Undang-undang & Kos ‘Consent’?
Kalau Yad tanya buyer,
“Kalau jumpa rumah leasehold yang cantik dan murah, nak beli tak?”
Selalunya jawapan yang Yad dapat lebih kurang macam ni.
“Tak naklah.”
“Susah nanti.”
“Tak boleh jual balik.”
Sebenarnya ramai yang takut beli rumah leasehold bukan sebab rumah tu tak bagus. Tapi sebab ramai tak faham macam mana leasehold ni berfungsi. Jom Yad explain dalam bahasa yang paling mudah.
Apa Maksud Leasehold?
Leasehold bermaksud rumah tersebut dipajak untuk tempoh tertentu. Kebiasaannya 99 tahun. Sepanjang tempoh pajakan tu masih ada, rumah tersebut tetap sah dimiliki dan boleh dijual beli seperti biasa. Ramai ingat leasehold maksudnya rumah tu “pinjam” je. Sebenarnya bukan macam tu. Yang penting ialah berapa baki tahun pajakan yang masih tinggal.
Kenapa Orang Takut Dengan Leasehold?
Biasanya ada 3 sebab.
1. Takut susah jual balik.
Sebenarnya masih boleh dijual. Cuma kalau baki pajakan dah terlalu pendek, pembeli dan bank mungkin akan lebih berhati-hati.
2. Takut bank tak lulus loan.
Bank memang akan tengok baki pajakan. Kalau masih panjang, biasanya tiada masalah. Kalau dah tinggal terlalu sedikit, peluang pembiayaan mungkin akan terjejas.
3. Takut kena bayar macam-macam.
Inilah yang selalu orang panggil Consent Pejabat Tanah.
Apa Itu Consent?
Untuk sesetengah rumah leasehold, sebelum pindah milik boleh dibuat, perlu dapatkan kebenaran daripada Pejabat Tanah terlebih dahulu. Proses inilah yang dipanggil consent.
Tapi jangan risau. Bukan semua rumah leasehold perlukan consent. Ia bergantung kepada syarat pada geran dan polisi kerajaan negeri. Sebab tu setiap kes boleh berbeza.
Kos Consent Mahal Ke?
Ramai ingat consent ni sampai berpuluh ribu ringgit. Hakikatnya tak semestinya. Kos bergantung kepada negeri dan jenis hartanah.
Antara kos yang mungkin terlibat ialah:
- Fi permohonan
- Premium (jika dikenakan)
- Caj pemprosesan
- Kos guaman
Sebab tu sebelum beli rumah, lebih baik semak dengan peguam atau ejen hartanah terlebih dahulu supaya semuanya jelas dari awal.
Kalau Leasehold Tinggal 60 Tahun, Masih Berbaloi?
Ini antara soalan yang paling kerap Yad dapat. Jawapannya : Bergantung.
Kalau anda beli untuk duduk sendiri, lokasi bagus, harga bawah market, dan masih sesuai dengan bajet. Ia masih boleh jadi pembelian yang sangat baik.
Tetapi kalau tujuan membeli adalah untuk pelaburan jangka panjang, anda perlu lihat juga baki pajakan kerana ia boleh memberi kesan kepada pembiayaan bank dan nilai jualan semula pada masa depan.
Leasehold vs Freehold. Mana Lagi Bagus?
Sebenarnya tiada jawapan yang betul atau salah.
Freehold memang tiada tempoh pajakan. Tetapi kebiasaannya harga juga lebih tinggi.
Leasehold pula selalunya lebih mampu milik dan banyak berada di kawasan yang matang serta strategik.
Jadi jangan hanya tengok status geran sahaja. Yad selalu pesan dekat client.
Tengok juga:
✅ Lokasi
✅ Harga
✅ Baki pajakan
✅ Potensi kawasan
✅ Tujuan anda membeli rumah
Kadang-kadang leasehold di lokasi A jauh lebih baik daripada freehold di lokasi yang kurang strategik.
Kesimpulan
Bagi Yad, jangan terus tolak rumah leasehold hanya sebab dengar orang kata “tak bagus”.
Setiap rumah perlu dinilai berdasarkan fakta, bukan persepsi. Kalau baki pajakan masih panjang, lokasi bagus, harga berpatutan dan sesuai dengan objektif anda, rumah leasehold masih boleh menjadi pilihan yang sangat berbaloi.
Yang penting, faham dahulu sebelum buat keputusan. Sebab membeli rumah bukan sekadar ikut orang. Kita beli berdasarkan ilmu dan data. 💯
Semoga artikel ini bermanfaat. Jangan lupa follow Yad Zahari di Instagram, Facebook, Threads, YouTube dan TikTok untuk update dan perkongsian seterusnya.





